Ada dua konsep perniagaan di Wakaf Che Yah ni, pada waktu siang Wakaf Che Yah adalah pasar borong yang menawarkan pelbagai barangan asas dan basah, bila menjelang malam pula, ia menjadi pasar malam yang penuh dengan pelbagai jenis barangan terutama sekali pakaian seperti kain pasang dan tudung.
Barangan-barangan lain yang dijual di sini adalah seperti jersi bola sepak, jam tangan replika, tuala, kasut bundle, toto dan banyak lagi. Hati-hati kalau datang ke sini, sedar tak sedar, boleh licin duit poket.
Alamat: Wakaf Che Yeh, 15150 Kota Bharu, Kelantan
Menara Jam Tambatan Diraja adalah sebuah tarikan berketinggian 150 kaki yang dibuka kepada orang awam untuk menyaksikan pemandangan tanpa batasan di sekitar bandar Kota Bharu serta Sungai Kelantan.
Lokasinya, terletak berdakatan dengan Padang Merdeka yang boleh anda singgahi selepas puas menikmati pemandangan untuk berekreasi bersama keluarga.
Alamat: Jalan Sultan, 15400, Kota Bharu, Bandar Kota Bharu, 15000, Kelantan
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (8.00 am – 12.00 pm & 2.00 pm – 5.00 pm) | Jumaat & Sabtu (8.00 am – 12.00 pm & 2.30 pm – 5.00 pm)
Harga Tiket: Dewasa RM1 | Kanak-Kanak RM0.50
Taman Air Splash terletak di dalam lokasi yang agak tersembunyi dari pandangan ramai walaupun berada di dalam bandar Kota Bharu, menjadikan ianya sebuah ‘hidden germ’ atau permata tersembunyi di Kelantan.
Di dalam taman air ini terdapat 3 buah kolam yang berbeza tahap kedalamannya untuk memberi keselesaan kepada semua pengunjung yang datang dalam pelbagai peringkat usia.
Sudah puas bermandi-manda, pasti rasa lapar punyakan? Untuk menghilangkan kelaparan, ada banyak pilihan makanan yang boleh anda dapati dari medan selera taman air ini.
Kemudahan lain yang disediakan adalah tandas awam, surau, taman permainan kanak-kanak dan juga tempat meletak kereta.
Dah puas berjalan, tiba-tiba tekak kehausan dan perut menggerodak lapar? Mai legakan tekak dan perut di Kedai Kopi White House. Kedai kopi klasik ini mula ditubuhkan dari sebelum merdeka iaitu dari tahun 1935 lagi! Namun ini bukanlah kawasan asal dari awal pembukaan kedai, kerana ianya telah berpindah ke lokasi sekarang pada tahun 1980. Ingin merasakan suasana klasik yang sebenar semasa bercuti di Kota Bharu, singgah sahaja ke Kedai Kopi White House ini, atmosferanya cukup menarik. Bagi sesiapa yang berjiwa lama tu, anda pasti tak akan dapat melupakan pengalaman bersantapan di sini.
Kalau dah melawat kedai makan tu, mesti nak tahu apa hidangan signaturenya kan? Sebagai kedai kopi, salah satu menu wajib cuba sudah semestinya kopinya sendiri yang dihasilkan dengan menggunakan resepi rahsia turun-temurun. Tak cukup secawan! Selain kopi, anda juga patut mencuba roti bakarnya yang boleh dinikmati sama ada dengan telur separuh masak, butter, kaya atau sebagainya.
Lokasinya, terletak tidak jauh dari Pasar Siti Khadijah dan Istana Jahar. Dah makan nanti barulah seronok nak teruskan penerokaan sekitar bandar yang padat dengan peninggalan lampau dan keindahan lanskapnya ni.
Ingin menikmati ketenangan yang tidak berbelah bahgi? Datanglah ke Rumah Api Pantai Senok. Dari sini, anda dapat menyaksikan suasana penuh ketenangan lautan biru yang terbentang luas di samping pemandangan nelayan yang pulang dari menangkap ikan.
Panorama ini disempurnakan lagi dengan cahaya indah ketika mentari mula terbenam. Jangan melepaskan peluang untuk merakamkan saat-saat ini melalui lensa kamera anda!
Sambil menikmati ketenangan di sekitar kawasan pantai, anda juga boleh melakukan aktiviti seperti berbbq atau bercamping di tepian pantai ataupun di bawah pokok rhu.