Min House Camp Ground Kelantan

Hanyalah beberapa km dari bandar Kota Bharu, Min House Camp menawarkan pengalaman yang mustahil dapat dilenyapkan dari ingatan. Dikelilingi oleh alam semula jadi seperti sungai yang mengalir tenang dan pokok-pokok yang menghijau, suasana di sekitar Min House Camp ini cukup menyegarkan jiwa.

Rimba hijau yang menjadi tapak lokasi Min House Camp ini adalah habitat kepada lebih daripada 40 spesies burung, 20 spesies rama-rama dan banyak lagi spesies haiwan yang lain menjadikan ia antara destinasi yang menarik untuk anda luangkan waktu bagi meneroka kekayaan flora dan faunanya. Bersesuaian dengan atmosfera yang penuh kehijauan, penginapan-penginapan dan kemudahan yang ditawarkan di camp ini juga hampir keseluruhannya adalah berasaskan buluh dan kayu.