Ini adalah salah sebuah tarikan bersejarah yang paling ‘epik’ di Kota Bharu. Eh! Bukan di Kota Bharu je, tarikan ini sebenarnya paling dahsyat di Asia Tenggara! Sebab masjid ini sebenarnya adalah masjid yang tertua di rantau ini!
Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri ini adalah sebuah masjid lama yang telah dibina pada kurun ke-18 tanpa menggunakan walau sebatang paku!
Nak tahu bagaimana kisah ia boleh terbina? Al-kisahnya, pada suatu ketika dulu terdapat sekumpulan mubaligh yang telah berlayar ke sepanjang Kepulauan Melayu untuk menyebarkan agama Islam, malangnya, semasa dalam perjalanan, perahu mereka telah terbocor.
Dalam keadaan ini mereka berjanji untuk membina sebuah masjid sekiranya berjaya sampai ke kawasan pantai dengan selamat. Mereka akhirnya dapat mendarat di Kampung Laut dengan selamat dan terbinalah masjid ini di tepi Sungai Kelantan.
Masjid ini telah dialihkan dari lokasi asalnya ke lokasi sekarang di Nilam Puri untuk mengelakkan banjir yang sering terjadi di tepi sungai. Setelah dipindahkan, ianya turut diperbaiki dan dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air.