82999731 2822903877944526 4574119950892904911 o

Secara umumnya, muzium merupakan sebuah ‘Institut bersifat tetap, tidak mencari keuntungan, memberi khidmat kepada masyarakat dan pekembangannya, terbuka kepada umum, memperolehi, merawat, menghubungkan dan mempamerkan untuk tujuan pembelajaran, pendidikan dan hiburan, bukti-bukti tinggalan manusia dan persekitarannya’ (ICOM). Muzium dianggap sebagai warisan negara yang tidak ternilai kerana fungsinya yang berperanan sebagai sebuah institusi pendidikan tidak rasmi. Sumber dan bahan-bahan yang terdapat di muzium mampu memberi kefahaman dan menarik minat sama ada yang berkaitan sejarah, sastera, sains atau alam semulajadi. Apabila disebut istilah muzium, kita harus melihat konsep permuziuman itu sebagai satu konsep yang luas, umum dan artifak yang ada di dalam koleksi diperagakan dan ditempatkan dalam sebuah bangunan. Kewujudan sesebuah muzium itu pada prinsipnya berasaskan kepada beberapa keperluan iaitu memberi pendidikan kepada masyarakat, pemeliharaan dan pengekalan warisan sejarah, kebudayaan, alam semulajadi dan pelancongan. Bidang permuziuman merangkumi pelbagai aspek yang saling berinteraksi dalam menggerakkan usaha pembangunan dan pembentukan pusat pengumpulan maklumat dan pendidikan berkenaaan warisan negara. Oleh itu boleh disimpulkan Muzium sebagai wadah yang menjadi perhubung ketamadunan warisan silam dengan masyarakat.

(Sumber: https://www.facebook.com/muziumkelantan)